Siapakah
Hafsah binti Umar?
- Beliau adalah puteri Umar al-Khattab, sahabat Nabi yang terkemuka.
- Bondanya ialah Zainab binti Mazh’un, saudara perempuan kepada sahabat Nabi, Ustman bin Mazh’un yang merupakan insan pertama yang dimakamkan di Baqi’.
- Anak saudara kepada Zaid bin Khattab, seorang yang syahid dalam Perang Yamamah.
- Ibu saudaranya ialah Fatimah binti Khattab, yang merupakan salah seorang sahabat pertama masuk Islam, isteri kepada Sai’d in Zaid yang dijamin syurga.
- Abang Hafsah ialah Abdullah bin Umar yang dipuji Rasulullah SAW sebagai seorang yang soleh (Rujuk riwayat Bukhari, no.3741, kitab Al-Manaaqib, Muslim, no.2478, kitab Fadhailus sahabah).
Kelahiran Penuh Berkat
Ketika penduduk Quraisy kecoh dengan
banjir besar yang menimpa Kaabah, sehingga berlaku ketegangan dalam meletakkan
kembali Hajarul Aswad, Rasulullah SAW hadir dengan penuh wibawa menjadi
hakimnya. Peristiwa ini berlaku lima tahun sebelum kenabian. Sekitar peristiwa
itulah, Hafsah lahir di tengah keluarga yang penuh kemuliaan.
Sejak kecil, beliau menekuni ilmu sastera. Tekun belajar membaca dan menulis
daripada Syifa’ binti Abdullah Al-Quraisyiyah Al-A’dawiyah. Kesungguhannya
menjadikan dirinya antara wanita Quraisy yang paling fasih berbicara, bersenikan
sastera indah.
Keislaman ayahandanya, Umar membawa berkat yang besar kepada seluruh umat Islam
apatah lagi di dalam keluarganya. Abdullah bin Mas’ud berkata, “Kami tidak
dapat solat di depan Kaabah kecuali setelah Islamnya Umar.” (Riwayat Ibnu Saad,
vol.1, hlm. 270, dan Hakim, vol.3 hlm. 83-84). Hafsah membesar di bawah didikan
salah seorang sahabat kesayangan Nabi itu.
Bersatu Cinta Dengan Khunais
Khunais bin Hudzafah r.a. (saudara Abdullah bin Hudzafah r.a.) merupakan salah
seorang sahabat pertama yang masuk Islam. Keislamanya bermula sebelum
Rasulullah SAW menjadikan rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam sebagai markaz
gerakan Islam lagi. Abu Bakar as-Sidiq yang menjadi menara hidayah buatnya.
Khunais meminang Hafsah yang sedang
mekar meniti usia remaja. Umar menerima baik lamaran ke atas puterinya. Hafsah
juga senang dengannya. Cinta Hafsah dan Khunais lalu bersatu. Mereka hidup
bahagia dengan kejelasan iman dan ubudiyah kepada Allah SWT.
Hijrah
Bersama
Penentangan musyrikin Makkah semakin menggila. Kekejaman
berlaku di mana-mana. Suami Hafsah terpaksa ikut berhijrah ke Habsyah. Namun,
hatinya tetap di Makkah.
Si suami kembali ke Makkah, membawa isteri tercinta hijrah
ke Madinah, menyahut saranan Rasulullah SAW. Mereka hidup lebih tenang di
samping golongan Ansar yang sangat penolong sifatnya.
Terpisah
Dua Jiwa
Dakwah Islam menuntut pengorbanan. Panggilan jihad di medan
Badar menguji keimanan. Hafsah dengan rela hati meneguhkan perwiranya agar
menyahut seruan itu. Di minda Khunais, syahid menjadi cita-cita teragung.
Pahlawan Badar itu berperang gagah. Seiring doa Hafsah.
Biarpun mata pedang membelasah tubuhnya di sana-sini, undur tidak sekali.
Khunais terus setia bertempur sehingga Islam mengangkat panji kemenangan.
Hafsah ternanti-nanti kepulangan perwiranya. Syukur kerana
suaminya kembali. Namun, pulangnya Khunais dengan kecederaan parah. Hayatnya
tidak lama. Rasulullah SAW menguburkan suaminya di Baqi’, berdampingan dengan
kubur Ustman bin Mazh’un.
Hafsah reda dalam tangis kesedihan. Usianya yang masih muda,
sekitar 18-20 tahun, menjadikan pemergian kekasih hati itu suatu ujian yang
menyakitkan. Tabah Hafsah menerima ketentuan. Ramai insan bersimpati
terutamanya Umar, ayahanda Hafsah.
Dianugerahi
Suami yang Jauh Lebih Baik
Sebak jiwa Umar melihat puterinya sering dirundung pilu.
Sebagai ayah, dia tidak mau kematian Khunais turut mematikan keceriaan Hafsah.
Umar tekad mencari pengganti. Umar menawarkan Hafsah kepada Abu Bakar. Abu
Bakar tidak memberikan jawapan. Hanya berdiam diri. Dari riak wajahnya, Umar
tahu Abu Bakar keberatan. Abu Bakar bukan tidak bersimpati kepada Hafsah
namun beliau sebenarnya sedang menjaga rahsia Rasulullah yang berniat untuk
menikahi Hafsah. (Rujuk HR Bukhari, no. 5122).
Umar tidak berputus asa. Umar menawarkan pula Hafsah kepada
Usman namun Usman menolak. “Saya belum bersedia berkahwin buat masa sekarang,”
kata Usman. Usman merupakan seorang lelaki yang setia hanya kepada seorang
isteri. Isteri Usman, Ruqayyah merupakan puteri Rasulullah. Rasulullah SAW
tidak rela semua menantunya memadukan puteri-puteri baginda selagi hayatnya
dikandung badan. (Rujuk hadis sahih riwayat Bukhari). Demikian kasih ayah
bergelar Rasulullah SAW yang cukup memahami betapa berisikonya hidup bermadu
yang boleh membawa agama seseorang wanita kepada fitnah atau ujian. Tidak
hairanlah dalam Islam, poligami itu cuma rukhsah apabila ada keperluan mendesak
bukannya galakan agama. Apabila Ruqayyah meninggal, Usman masih rela
keseorangan.
Umar lalu mengadukan kesedihannya kepada Rasulullah.
Rasulullah SAW lalu menghiburkannya, “Hafsah akan bernikah dengan orang yang
lebih baik daripada Ustman. Manakala Ustman akan bernikah dengan wanita yang
lebih baik daripada Hafsah.”
Tidak lama kemudian, Hafsah dipinang oleh Rasulullah SAW.
Umar lalu menikahkan puterinya dengan penuh rasa gembira. (Riwayat Bukhari,
vol. 9, hlm. 102-103). Sementara itu, Rasulullah SAW menikahkan Ustman dengan
puterinya Ummu Kultsum, bagi merawat kesedihannya yang ditinggal Ruqayyah. Hafsah
dimuliakan sebagai ummul mukminin pada tahun ke-3 hijriah, sebelum Perang Uhud.
Rasulullah SAW memberikannya mahar sebanyak 400 dirham. Kesedihan Hafsah pantas
terubat kerana digantikan Allah dengan anugerah suami terbaik di dunia. Itulah
ganjaran bagi insan yang tabah mengharungi ujian hidup.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar